3.Etika mengutamakan pemeliharaan nyawa
Agama Islam disanjung tinggi kerana ajarannya yang sentiasa mempertahankan kesejahteraan dan keselamatan setiap individu. Islam melihat setiap individu sebagai makhluk yang sewajarnya dimuliakan dan dipelihara nyawa, maruah dan kehormatan mereka tanpa mengira perbezaan darjat dan kedudukan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Israa, ayat 70 bermaksud: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan dan Kami beri mereka dengan rezeki yang baik-baik.'
Malah, ajaran agama ini bukan sahaja menyediakan ruang kesejahteraan untuk umat manusia, tetapi pada masa yang sama turut berusaha mengelak atau menghindarkan umat manusia daripada terkena apa jua bentuk kemudaratan yang mana akhirnya akan mendatangkan risiko kecederaan, penyakit dan bencana atau musibah yang akhirnya mengancam kesejahteraan diri dan nyawa mereka,
Fitrah kehidupan mengajarkan kita bahawa setiap perlakuan dan perbuatan ada kebaikan mahupun keburukan, dan masing-masing mempunyai kesan sampingan yang tersendiri.
Risiko kemudaratan tetap wujud namun masih boleh dielakkan ataupun dicegah. Hakikat ini diperakui oleh Islam malah ajarannya turut membantu umat manusia agar sentiasa mencari kebaikan dan menghindari kemudaratan.
Ulama Islam tersohor, Imam As Syatibi berpendapat sememangnya tiada kebaikan mahupun keburukan secara mutlak. Ini kerana, dalam kebaikan mungkin terdapat sekelumit keburukan tetapi nisbahnya tidaklah sampai ke peringkat yang mampu untuk menjejaskan kemaslahatan bagi manusia. Begitu juga, dalam keburukan tidak semestinya tiada penawar dan kebaikan yang mungkin membawa kemanfaatan.
Namun hakikatnya, wajiblah dihindari segala keburukan dan kemungkaran dalam mencari kemaslahatan dalam apa jua perkara dan ini telah menjadi tugas umat Islam untuk memimpin umat manusia.
Firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.
Dalam mengharungi kehidupan, umat manusia sering tersilap langkah akibat kekaburan dan kekurangan kefahaman dalam menilai tindakan dan keputusan yang diambil terutamanya berkaitan kebaikan dan kemudaratan.
Perkara ini sudah tentu amat mencemaskan, lebih-lebih lagi jika tindakan yang dilakukan berkaitan dengan keselamatan diri dan nyawa. Dalam Islam, memelihara kesejahteraan nyawa adalah wajib dalam apa jua keadaan dan perlu dipertahankan pada setiap masa.
Sesetengah ulama berpendapat bahawa kedudukan bagi mempertahankan kesejahteraan nyawa dan diri adalah dalam kedudukan teratas sebelum mempertahankan kesejahteraan agama, akal dan keturunan serta harta benda. Namun, dalam apa jua tindakan yang diambil, matlamat terakhir adalah sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat kepada manusia.
Jika terdapat kemudaratan di samping kemanfaatan, keburukan yang ada wajar tidak sampai ke tahap menjejas atau menghilangkan manfaat yang diingini. Dalam lain makna, kemanfaatan wajarlah sentiasa mengatasi kemudaratan.
Sememangnya Islam melihat segala usaha yang dilakukan untuk memelihara kesejahteraan nyawa dan mempertahankannya daripada sebarang ancaman sebagai sesuatu yang baik dan murni, asalkan kaedah yang dilakukan itu tidak menyalahi syariatnya.
Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu seperti di kala kecemasan dan ketika ancaman maut mungkin berlaku, manusia diharuskan melakukan atau mengambil kemudaratan yang sedikit bagi memelihara kelangsungan dan kesejahteraan hidup.
Dan kemudaratan yang diambil itu sudah diyakini mampu meningkatkan keupayaan untuk terus memelihara kehidupan, bukannya menjadikan kehidupan lebih sukar atau yang boleh mendatangkan kemudaratan dalam bentuk atau aspek yang lain.
Dalam perkara ini, Islam turut memandu manusia bagaimana dalam mengambil tindakan berkaitan keinginan untuk hidup semata-mata, tidak harus mengabaikan aspek-aspek keselamatan lain yang juga penting, lebih-lebih lagi jika tindakan berkenaan tidak dapat membantu untuk memberi apa-apa manfaat kepada diri dan nyawa.
Dalam usaha mempertahankan nyawa dan kesejahteraan kehidupan, sesuatu tindakan yang diambil wajarlah diyakini mampu membantu mencapai tujuan dan matlamat yang diingini, iaitu mengekalkan hayat.
Tahap keyakinan mestilah berada dalam kedudukan yang tinggi, iaitu nyawa dan kehidupan mampu dipertahankan tanpa risiko maut yang agak besar jika dituruti. Malah tahap keyakinan itu tidak mampu digugat lagi oleh bukti dan fakta baru, walaupun dikatakan tindakan yang akan diambil itu tidak mampu untuk menyelamatkan nyawa.
Dalam perkara ini, maklumat asas yang tepat dan bukti kukuh terhadap tindakan yang diambil adalah amat penting kerana ia turut membantu manusia agar dapat mengekalkan hayat yang sejahtera.
Dalam Islam, jika terdapat apa jua bukti kukuh yang melihat sekiranya kemaslahatan nyawa dan kehidupan tidak dapat dipertahankan oleh sebarang tindakan tertentu, malah akan mendatangkan lebih banyak kemudaratan pula, adalah lebih wajar nyawa itu dipertahankan tanpa mengambil risiko maut.